Friday, May 22, 2009

Beberapa fakta tentang kitar-semula



AIR
1. Penggunaan air terbanyak di rumah adalah di dalam bilik air atau bilik mandi. Menurut kajian (California Energy Commission 2006) sebanyak 75% dari penggunaan di rumah

2. Mengepam air selepas menggunakan tandas menggunakan kira kira 5 liter air setiap kali digunakan. Statistik ini adalah untuk tandas yang dilengkapi sistem pam air yang lebih efisyen.

3. Memberus gigi di waktu pagi tanpa membiarkan tap air terbuka boleh menjimatkan sehingga 30 liter air sehari, menurut kajian (EPA 2008)

4. Mandi di dalam besen mandi menggunakan hampir 300 liter air setiap kali digunakan, berbanding dengan mandi shower hanya 40-100 liter.

5. Membasuh menggunakan mesin pembasuh pakaian jenis baru yang efisyen menggunakan hampir 100 liter air sehari


TENAGA LETRIK
1. Penggunaan tenaga dunia dijangka bertambah 2 kali ganda antara tahun 200 hingga 2030. Penambahan terbesar adalah dari negara membangun dan kadar penambahan paling cepat adalah dari rumah-rumah kediaman, menurut kajian (Worldwatch Institute, 2007)

2. Penghasilan tenaga letrik di Amerika (yang menggunakan arang batu) adalah penyumbang kepada 40% penghasilan karbon yang dikaitkan dengan pemanasan global (Worldwatch Institute, 2007)

3. Oven gelombang mikro (microwave) menjimatkan penggunaan tenaga letrik sebanyak 50% berbanding oven letrik biasa

4. Membiarkan peralatan letrik terpasang (sekadar untuk melihat jam) seperti TV, pemain DVD dan VCD, menggunakan hampir 5% dari penggunaan tenaga di rumah (Alliance to Save Energy, 2005)


KERTAS
1. Penggunaan kertas dan kayu (di Amerika) oleh setiap rakyat setiap tahun bersamaan dengan sebatang pokok Douglas fir setinggi 100-kaki (EPA 2008)

2. Mengitar semula satu tan kertas dapat menyelamatkan 17 batang pokok dewasa dan 26,000 liter air (EPA 2008)

3. Mengitar semula kertas berbanding dengan menghasilkan kertas baru dapat mengurangkan pencemaran air sebanyak 74%, mengurangkan penggunaan air sebanyak 50% dan mengurangkan sebanyak 40% penggunaaan tenaga letrik (EPA 2008)

4. Hanya 48% daripada penggunaan kertas di pejabat (di Amerika) dikitar semula, yang dijadikan bahan mentah untuk paperboard, tisu dan kertas Keep America Beautiful, 2006)

5. 73% daripada kertas suratkhabar telah dikitar semula. Satu pertiga dijadikan kertas suratkhabar semula, selebihnya dijadikan paperboard, tisu dan bahan penebat (Keep America Beautiful, 2006)


LOGAM
1. Mengitar-semula bahan aluminium (seperti tin) dapat menjimatkan 95% tenaga untuk menjadikan aluminium baru dari bahan mentah. Berdasarkan fakta ini, 20 tin aluminium dapat dikitarsemula dengan kadar tenaga yang digunakan untuk membuat satu tin aluminium yang baru (Keep America Beautiful, 2006)

2. Mengitar-semula satu tin aluminium dapat menjimatkan tenaga sebanyak yang boleh digunakan untuk menyalakan lampu 100-watt selama 20 jam, menggunakan komputer selama 3 jam dan TV selama 2 jam (EPA, 2008)

3. Tin aluminium yang dibuang oleh rakyat amerika selama sebulan adalah mencukupi untuk membina semua kapalterbang komersial Amerika


KACA
1. Kaca tidak susut dan boleh dikitar semula sampai bila-bila.


STYROFOM / POLISTERIN
1. Ia tidak boleh dikitar semula dan tidak boleh digunakan untuk membuat yang baru

2. Setiap tahun rakyat Amerika membuang 25,000 juta cawan styrofom, cukup untuk mengelilingi bumi sebanyak 436 kali.


KELULI
1. Sekiranya setiap rakyat (di Amerika) mengitar-semula satu persepuluh dari tin buangan, ia boleh menjimatkan dari membuat 3.2 billion tin dari bahan mentah yang baru setiap tahun.
Hanya 30% dari besi yang dibuang boleh dikitar-semula


Sumber maklumat: oberlin.edu
Statistik kajian adalah daripada California Energy Commission 2006, Worldwatch Institute 2007, Alliance to Save Energy 2005 Keep America Beautiful, 2006 dan U.S Environmental Protection Agency (EPA) 2008

Wednesday, May 20, 2009

Kempen Selamatkan Bumi



Save the Earth Campaign adalah versi Bahasa Inggeris kempen ini yang bertujuan mengurangkan kemusnahan alam sekitar yang diakibatkan dari proses pembangunan manusia sendiri.

Antara intipati kempen tersebut adalah:

1. Mengurangkan "carbon footprint" atau penghasilan carbon dioksida(CO2) hasil dari pembakaran bahan bakar fossil (fossil fuel) yang terdiri dari bahan galian seperti arang batu dan petroleum. Kesan dari fenomena ini adalah pemanasan global dan pencairan airbatu di kutub utara, mengakibatkan kenaikan paras air laut sedunia dan penenggelaman tanah dataran
.
Maksud "Carbon Footprint"
"Ukuran bagi kesan dari aktiviti-aktiviti manusia ke atas alam sekitar berdasarkan jumlah gas rumah hijau (greenhouse) yang terhasil dalam unit karbon dioksida."

2. Mengurangkan penggunaan bahan semulajadi menerusi galian atau pokok-pokok melalui program kitar-semula kertas, plastik dan kaca

3. Mengurangkan penggunaan bahan yang tidak boleh diuraikan melalui proses semulajadi seperti bahan plastik dan styrofoam

4. Mengurangkan penggunaan tenaga yang dijanakan oleh tenanga yang tidak boleh diperbaharui seperti arang batu dan petroleum, melalui penggunaan tenaga solar dan angin untuk rumah-rumah, penggunaan mentol rendah watt dan pengurangan penggunaan penghawa dingin di musim panas dan pemanas di musim sejuk.

5. Menanam lebih banyak pokok-pokok untuk menggantikan stok yang telah terpakai untuk masa yang akan datang

6. Menghentikan penggunaan bahan berasakan CFC de dalam spray aerosol, peti sejuk dan penghawa dingin kenderaan

7. Menggunakan bateri caj semula

8. Membuat kompos sendiri dari bahan-bahan terbuang

9. Mencari idea kreatif untuk mengurangkan pembuangan bahan berunsur kayu seperti mengitar semula sofa yang telah lusuh atau menghasilkan hasil seni dari kertas terpakai

10. Memastikan kereta sentiasa dalam keadaan baik bagi mengurangkan penghasilan CO2 yang berlebihan dan mencemarkan udara


Kesimpulan
Kesan dari kempen "Selamatkan Bumi" hanya akan berkesan jika kesedaran dan tindakan ke atasnya dijalankan secara kolektif dan global, melibatkan semua lapisan masyarakat, pelbagai bidang kuasa politik dan ceruk-rantau di dunia ini. Hasilnya bukanlan dapat dilihat segera, tetapi mungkin berpuluh atau beratus tahun akan datang.